Tuesday, March 31, 2009

Hp Kesayangan Rosak.. Sedihnya..



Wah.. sedihnya.. 2-3 hari ini terpaksa bertahan 'berpuasa' dari memegang hp. Hp aku rosak pagi tadi selepas mengalihkan gambar dari hp ke pc.. Hp sony ericson W300i saja. Tiada hp lebih untuk digunakan, jadi terpaksalah bertahan untuk 2-3 hari ini. Harap-harap semua no. telefon dalam hp tak hilang, kalau tidak susahlah.. Owh hpku, semoga cepat sembuh ya.. terpaksa la cari duit untuk bayar baik pulih nanti, katanya lebih kurang 100 ke atas.. harap semuanya akan baik-baik saja.. Amin..


Adie Kun @ Raja Bulan

Monday, March 30, 2009

Rintihan Hati Kecilku..



Semalam aku tidak sempat untuk mencoretkan luahan hati aku kerana hujan lebat.. Semalam bukanlah hari yang mengembirakan buat diri aku.. Senja semalam, secara tidak sengaja aku terdengar kerisauan yang diluahkan mengenai diri aku oleh Ayah terhadap Emak dan Kakak. Aku tidak sanggup mendengar sehingga habis dan terus masuk ke dalam bilik. Aku merasa sedih.. Sedih dengan diri sendiri..


Emak, Ayah.. Adie minta ampun dan maaf sangat kerana Adie bukanlah anak yang baik dan seperti yang diharapkan.. Adie seumpama kambing hitam dalam keluarga ini.. Adie banyak menyusahkan Emak dan Ayah selama ini.. Adie pernah berharap, andai kata Adie tahu kehidupan Adie akan jadi seperti ini, dan terpaksa melalui semua ini.. Adie harap, Adie tidak pernah dilahirkan ke dunia ini.. Biar Allah cabut nyawa Adie ketika dalam kandungan Emak, supaya dimasa akan datang Emak dan Ayah tidak dibebani oleh Adie, anak yang tidak berguna ini.. Ketika Adie menulis luahan ini tidak semena-mena air mata Adie mengalir.. Adie kesal dengan diri sendiri, dan Adie pernah membenci diri sendiri kerana menjadi selemah ini.. Emak, Ayah.. Adie minta ampun dan maaf, buat masa ini Adie tidak dapat hendak memberikan apa-apa pada Emak dan Ayah, terutama dari segi material dan wang ringgit.. Tapi Adie berjanji pada diri sendiri, InsyaAllah, setiap hari Adie tidak akan pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan Emak dan Ayah... Hanya itu yang mampu Adie lakukan dan berikan.. Emak, Ayah.. Terima kasih unuk segala-galanya.. Adie tidak akan pernah melupakan jasa Emak dan Ayah.. Seumur hidup Adie.. Ya Allah.. berikanlah ketabahan dan kekuatan kepada hamba-Mu ini untuk menghadapi apa jua dugaan yang melanda.. Amin..



Adie Kun @ Raja Bulan

Monday, March 23, 2009

Bermulanya Episod Yang Baru.


Setelah perbincangan di lakukan beberapa kali, kami berempat mengambil kata sepakat untuk menceburkan diri masih dalam bidang yang sama iaitu akuakultur tetapi sektor yang berlainan, sebelum ini kami menjalankan penternakan ikan keli tetapi kali ini kami ingin mencuba dalam menghasilkan anak benih ikan keli. Membekalkan anak benih ikan keli kepada penternak-penternak di sekitar selangor.


Kami telah gagal untuk projek yang sebelumnya, jadi kami tiada modal untuk memulakan yang projek baru. Jadi kami telah memohon pinjaman sebanyak sepuluh ribu ringgit daripada agensi MARA, atas nama si Z, si anak orang berada dan dia di pertanggungjawapkan atas risiko-risikonya atas permintaan dirinya sendiri demi menebus kesilapan lalu. Ini bermakna pelaburan sebanyak lebih daripada lima puluh ribu ringgit telah dibuat.

Selepas pelbagai dugaan yang kami hadapi sepanjang menunggu tempoh pinjaman diluluskan akhirnya pinjaman telah dapat ditunaikan, kesabaran kami selama ini tidak sia-sia, setelah menunggu hampir 4 bulan akhirnya kami boleh memulakan projek seperti yang telah dirancangkan. Walaupun pinjaman telah diperolehi, ianya tidak dapat membendung masalah daripada berlaku. Bermacam-macam masalah dalaman yang melanda berpunca daripada kami berempat sendiri sehingga menyebabkan keadaan menjadi tegang dan masing-masing ingin menarik diri dan tidak memperdulikan soal projek itu lagi. Aku bingung dan hampir putus asa, tetapi Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memberikan dan menganugerahkan aku sikap penyabar dan pendamai yang tinggi. Aku berusaha untuk memujuk mereka kembali dan mendamaikan keadaan, usaha aku akhirnya berjaya, walaupun aku sendiri ada terasa untuk berputus asa dan menarik diri. Di sebabkan projek ini aku menangis mengenangkan nasib, aku tidak mahu segala pengorbanan dan usaha selama ini menjadi sia-sia dan membazirkan masa begitu sahaja, membuatkan masa depan sendiri menjadi gelap.

Sekarang, keadaan agak terkawal, bermula dari 11 mac yakni hari lahir aku, masalah telah dapat diselesaikan sedikit demi sedikit. Aku bersyukur, dihari yang penuh bermakna buat aku, doa aku seolah-olah di makbulkan oleh Allah... Pada 12 mac iaitu ke esokan harinya kami telah mula membeli barang-barang untuk projek. Kemudian kami berbincang dan menetapkan awal bulan April, kami akan mula beroperasi sepenuhnya, sementara menunggu seorang kawanku berhenti kerja dan seorang lagi balik dari pahang. Sekarang setiap hari ahad dan hari yang dipersetujui, kami sudah mula menyediakan tapak operasi, membina kolam asuhan, bangsal, tapak semaian, pondok dan sebagainya.. Aku berharap sangat, semuanya akan berjalan lancar selepas ini dan semoga semuanya akan baik-baik saja, tiada lagi masalah-masalah yang serius timbul di kalangan kami.. InsyaAllah.. Amin..

3 buah kolam berukuran 30 x 40 kaki dan pondok.

Pondok @ Bangsal (masih dalam pembinaan)

Kolam Asuhan


Adie Kun @ Raja Bulan

Episod Duka Dan Peluang Ke Dua.


Sejak 3 tahun kebelakangan ini macam-macam peristiwa berlaku dalam kehidupan aku, yang betul-betul mencabar tahap kesabaran dan keimanan aku sebagai seorang manusia biasa, insan yang kerdil lagi lemah. Apa pun aku terpaksa menghadapinya dengan tabah dan meneruskan kehidupan ini walaupun aku pernah beberapa kali putus harapan untuk meneruskan kehidupan ini.

Aku menganggap apa yang berlaku sebagai zaman kegelapan buat diri aku. Mungkin sekarang aku ditakdirkan untuk jatuh dan rebah, terkapai-kapai didalam kegelapan, hanyut didalam sungai kesedihan dan tangisan, sesat didalam kemurungan dan kekalutan dan sebagainya, tapi InsyaAllah, aku yakin dengan kekuasaan Allah, suatu hari dan satu masa nanti semuanya pasti akan berubah kepada yang lebih baik lagi. Zaman kegelapan, kesedihan, kemurungan, tangisan, kesakitan dan kekalutan aku pasti akan berakhir dan disusuli dengan cahaya kegembiraan. Pasti... Aku tidak akan berputus asa dan terus berdoa..

Mengimbas kembali, 2 tahun lepas iaitu pada tahun 2007 aku pernah dikhianati oleh kawan baik aku sendiri yang telah di kenali sejak dibangku sekolah rendah lagi. Selama 6 bulan aku dan 2 orang lagi kawanku mengerah tenaga dan fikiran, menyertai projek akuakultur iaitu penternakan ikan air tawar yang dibiayai sepenuhnya oleh ayah kepada seorang kawanku yang merupakan anak orang berada. Pada mulanya kami hanya ingin meminjam modal itu daripada bapanya dan akan membayarnya semula apabila mendapat perolehan nanti, sama-sama bekerjasama mengusahakan projek itu, tetapi tidak lama selepas itu bapanya mengatakan tidak perlu dibayar kembali.

Pada mulanya semuanya kelihatan baik sahaja. Kami berempat bersetuju, di dalam syarikat semua memainkan peranan yang penting, apa jua berkenaan dengan syarikat adalah milikan bersama, tiada pangkat dan kedudukan adalah samarata, begitu juga perolehan akan dibahagikan samarata. Di pendekkan cerita, akhirnya kami bertiga dikhianati. Kawan yang merupakan anak orang berada itu mula berubah sikap dan melayan kami bertiga seperti pekerjanya dan dia seolah-olah pengurus atau 'BOS' kami. Malah lebih teruk dari pekerja, kami merasakan seperti kuli, selama 6 bulan kami mengusahakan dan bertungkus lumus demi projek itu, kami tidak mendapat walau satu sen pun. Kami akur kerana projek kami baru bertapak dan belum mendapat perolehan untuk dibahagikan. Tetapi kami bukanlah pekerjanya malah merupakan rakan kongsinya seperti dipersetujui dari mula. Telah banyak yang kami korbankan dan bersusah payah demi projek akuakultur itu tetapi apa yang kami dapat? hanyalah satu pengkhianatan..

Akhirnya dia betul-betul menguji kesabaran kami apabila menyuruh kami bertiga menandatangani kontrak yang dia buat dan jikalau kami melanggar syarat didalam kontrak itu, kami bertiga akan di saman. Kesabaran kami ada hadnya, akhirnya kami bertiga menarik diri dari projek itu kerana sikap si anak orang berada yang semakin melampau. Segala pengorbanan dan pahit jerih kami semua menjadi sia-sia belaka. Betapa sedihnya perasaan aku ketika itu.. Apa pun, aku jadikan semua itu sebagai pengalaman beharga dalam hidup aku.

Semenjak aku dan kawan-kawanku menarik diri dari projek itu, satu demi satu khabar yang kami dengar mengenai projek akuakultur itu, semuanya khabar yang tidak baik. Akhirnya projek itu tergendala dan terhenti ditengah jalan, menjadi projek yang terbiar..

Hendak dijadikan cerita, akhir tahun 08, dalam bulan november, si anak orang berada itu menghubungi kami bertiga, dia meminta kami untuk menyertainya kembali untuk mengusahakan projek baru. Pada mulanya memang amat sukar untuk kami menerima pelawaannya, apatah lagi memaafkan segala perbuatannya terhadap kami, dan takut pisang berbuah dua kali. Bukan senang untuk melupakan segala perbuatannya terhadap kami. Setelah kami bertiga berbincang beberapa kali akhirnya kami bersetuju untuk memberinya peluang ke dua tetapi dengan beberapa syarat, iaitu, meminta maaf kepada kami dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, membayar kami duit pampasan untuk projek yang terdahulu, dan membuat perjanjian hitam putih supaya perkara yang sama tidak berulang kembali dan kedudukan kami lebih kukuh. Dia bersetuju dengan syarat yang diberikan, dan dari situ bermulanya episod baru dalam perhubungan dan kehidupan kami...


Adie Kun @ Raja Bulan

Thursday, March 12, 2009

Gembira Dan Bersyukur.

Semalam aku merasa amat gembira dan bersyukur sekali, pada mulanya aku merasakan keluarga aku tidak kisah dan tidak ingat akan tarikh hari lahir aku, jadi aku hanya mendiamkan diri dan agak sedih kerana selalunya setiap tahun InsyaAllah akan menyambutnya walaupun secara sederhana, dan yang paling penting ayah akan membacakan doa buat aku. Tapi sangkaan aku meleset, akak mengajak aku keluar dan membelanjaku minum di restoran mamak selepas dia pulang dari kerja, dan rupanya dia telah membelikan kek untuk aku, dan pada malam tu juga sekeluarga menyambut hari lahir aku. Selepas ayah balik dari sembahyang di masjid, ayah membacakan doa buat aku. Selepas bacaan doa aku memotong kek, dan kakak-kakakku membelanja se'barrel' ayam kfc. Rasa terharu dan gembira sekali pada masa itu, dan apa yang paling menggembirakan.. Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, dan segala pujian bagi - Nya, doa aku seolah-olah dimakbulkan, keajaiban berlaku pada malam itu, salah satu masalah besar yang aku hadapi, yang hampir membuatkan aku berputus asa dan menangis telah dapat diselesaikan. Aku berharap sangat masalah yang sama tidak akan timbul dan berulang lagi. InsyaAllah. Nampaknya kesabaran aku selama ini tidak sia-sia dan aku merasa amat bersyukur sekali, bersyukur kepada Allah S.W.T kerana memberikan aku sinar kegembiraan, walaupun hanya untuk seketika.. Terima Kasih buat kawan-kawan semua kerana sudi mendoakan aku dan memberikan aku ucapan 'Happy Birthday'. Terima Kasih. Semoga Allah merahmati kawan-kawan semua.

Kek ini sedap, rasa hendak habiskan semua.
Mahal katanya. (hahah..)
Terima Kasih Akak..


Adie Kun @ Raja Bulan

Tuesday, March 10, 2009

SELAMAT HARI LAHIR ADIE KUN


Aku merupakan anak ke 11 dan lahir pada 11 mac 1986, pukul 10.44 pagi iaitu hampir pukul 11, dan disebabkan itu aku menggemari nombor 11 kerana nombor ini memberi erti dalam hidup aku, tetapi itu bukanlah apa yang ingin aku perkatakan pada ketika ini. pukul 12 malam tadi umur aku genap 23 tahun. Perasaan aku bercampur baur, gembira dan sedih dalam waktu yang sama.. Aku gembira kerana Allah memanjangkan umur aku.. memberikan aku peluang untuk meneruskan kehidupan di bumi-Nya. Aku bersyukur.. Tapi aku sedih mengenangkan nasib diri, umur aku sudah menjangkau 23 tahun tapi aku tiada apa pun untuk dibanggakan. Aku tidak punyai apa-apa. Aku masih aku yang dulu, kebudak-budakan, masih bergantung hidup pada keluarga, yakni ayah, tiada kerjaya, tiada harta dan tiada apa-apa pencapaian untuk dibanggakan. Seumpama kambing hitam di dalam keluarga. Setiap kali aku memikirkannya hati aku terasa sebak, air mata mengalir dan aku terasa seperti ingin melenyapkan diri dari dunia ini. Aku tidak tahu kenapa aku boleh jadi selemah ini. Masalah yang aku tanggung dalam kehidupan ini biarlah aku simpan dalam hati. Apa pun aku bersyukur kerana Allah memberikan aku kesabaran dan kekuatan untuk menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran dalam hidup ini. Jika tidak, sudah lama aku tersungkur rebah. Doa ku, sempena hari lahir aku ke 23 ini.. Semoga Allah S.W.T memakbulkan semua doa-doa ku, memberikan ku kekuatan untuk meneruskan kehidupan. dan semoga zaman kegelapan,kemurungan, kesedihan, tangisan dan kekecewaanku akan berakhir dan disinari dengan cahaya kegembiraan. memberikan aku masa depan yang lebih cerah.. InsyaAllah.. Amin..


Selamat Hari Lahir Untuk Diriku Sendiri.
Adie Kun @ Raja Bulan