Monday, March 23, 2009

Episod Duka Dan Peluang Ke Dua.


Sejak 3 tahun kebelakangan ini macam-macam peristiwa berlaku dalam kehidupan aku, yang betul-betul mencabar tahap kesabaran dan keimanan aku sebagai seorang manusia biasa, insan yang kerdil lagi lemah. Apa pun aku terpaksa menghadapinya dengan tabah dan meneruskan kehidupan ini walaupun aku pernah beberapa kali putus harapan untuk meneruskan kehidupan ini.

Aku menganggap apa yang berlaku sebagai zaman kegelapan buat diri aku. Mungkin sekarang aku ditakdirkan untuk jatuh dan rebah, terkapai-kapai didalam kegelapan, hanyut didalam sungai kesedihan dan tangisan, sesat didalam kemurungan dan kekalutan dan sebagainya, tapi InsyaAllah, aku yakin dengan kekuasaan Allah, suatu hari dan satu masa nanti semuanya pasti akan berubah kepada yang lebih baik lagi. Zaman kegelapan, kesedihan, kemurungan, tangisan, kesakitan dan kekalutan aku pasti akan berakhir dan disusuli dengan cahaya kegembiraan. Pasti... Aku tidak akan berputus asa dan terus berdoa..

Mengimbas kembali, 2 tahun lepas iaitu pada tahun 2007 aku pernah dikhianati oleh kawan baik aku sendiri yang telah di kenali sejak dibangku sekolah rendah lagi. Selama 6 bulan aku dan 2 orang lagi kawanku mengerah tenaga dan fikiran, menyertai projek akuakultur iaitu penternakan ikan air tawar yang dibiayai sepenuhnya oleh ayah kepada seorang kawanku yang merupakan anak orang berada. Pada mulanya kami hanya ingin meminjam modal itu daripada bapanya dan akan membayarnya semula apabila mendapat perolehan nanti, sama-sama bekerjasama mengusahakan projek itu, tetapi tidak lama selepas itu bapanya mengatakan tidak perlu dibayar kembali.

Pada mulanya semuanya kelihatan baik sahaja. Kami berempat bersetuju, di dalam syarikat semua memainkan peranan yang penting, apa jua berkenaan dengan syarikat adalah milikan bersama, tiada pangkat dan kedudukan adalah samarata, begitu juga perolehan akan dibahagikan samarata. Di pendekkan cerita, akhirnya kami bertiga dikhianati. Kawan yang merupakan anak orang berada itu mula berubah sikap dan melayan kami bertiga seperti pekerjanya dan dia seolah-olah pengurus atau 'BOS' kami. Malah lebih teruk dari pekerja, kami merasakan seperti kuli, selama 6 bulan kami mengusahakan dan bertungkus lumus demi projek itu, kami tidak mendapat walau satu sen pun. Kami akur kerana projek kami baru bertapak dan belum mendapat perolehan untuk dibahagikan. Tetapi kami bukanlah pekerjanya malah merupakan rakan kongsinya seperti dipersetujui dari mula. Telah banyak yang kami korbankan dan bersusah payah demi projek akuakultur itu tetapi apa yang kami dapat? hanyalah satu pengkhianatan..

Akhirnya dia betul-betul menguji kesabaran kami apabila menyuruh kami bertiga menandatangani kontrak yang dia buat dan jikalau kami melanggar syarat didalam kontrak itu, kami bertiga akan di saman. Kesabaran kami ada hadnya, akhirnya kami bertiga menarik diri dari projek itu kerana sikap si anak orang berada yang semakin melampau. Segala pengorbanan dan pahit jerih kami semua menjadi sia-sia belaka. Betapa sedihnya perasaan aku ketika itu.. Apa pun, aku jadikan semua itu sebagai pengalaman beharga dalam hidup aku.

Semenjak aku dan kawan-kawanku menarik diri dari projek itu, satu demi satu khabar yang kami dengar mengenai projek akuakultur itu, semuanya khabar yang tidak baik. Akhirnya projek itu tergendala dan terhenti ditengah jalan, menjadi projek yang terbiar..

Hendak dijadikan cerita, akhir tahun 08, dalam bulan november, si anak orang berada itu menghubungi kami bertiga, dia meminta kami untuk menyertainya kembali untuk mengusahakan projek baru. Pada mulanya memang amat sukar untuk kami menerima pelawaannya, apatah lagi memaafkan segala perbuatannya terhadap kami, dan takut pisang berbuah dua kali. Bukan senang untuk melupakan segala perbuatannya terhadap kami. Setelah kami bertiga berbincang beberapa kali akhirnya kami bersetuju untuk memberinya peluang ke dua tetapi dengan beberapa syarat, iaitu, meminta maaf kepada kami dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama, membayar kami duit pampasan untuk projek yang terdahulu, dan membuat perjanjian hitam putih supaya perkara yang sama tidak berulang kembali dan kedudukan kami lebih kukuh. Dia bersetuju dengan syarat yang diberikan, dan dari situ bermulanya episod baru dalam perhubungan dan kehidupan kami...


Adie Kun @ Raja Bulan

1 comment:

Anonymous said...

ic..ic...