Wednesday, July 29, 2009

Kembali Bekerja Dan Kemaafan



Kembali Bekerja.


Pada hari ahad yang lepas, kakakku berbincang denganku mengenai hal bekerja dengan abangku.. Kakakku mengatakan yang sebenarnya dia ingin bekerja dengan abangku tetapi hanya untuk hari sabtu dan ahad, jadi dia meminta aku untuk bekerja pada hari isnin sehingga jumaat, dan kakakku mengatakan abangku suruh dia memujukku untuk kembali bekerja kerana dia belum dapat mencari orang lain untuk menggantikan aku, Aku buntu, ikutkan hati aku tidak mahu menerima kerja disitu kembali dengan gaji yang tidak munasabah dan masih berkecil hati dengan sikap abangku, tetapi kakakku beriya-ya memujukku untuk kembali bekerja di sana. Dia mengatakan abangku memberikan gaji 500 sebulan tetapi perlu di bahagikan dua, jadi dia mencadangkan gaji aku sebanyak 250 atau 300.. dan dia sebanyak 250 atau 200.. dan akhirnya dia muktamad ingin membahagikan gaji aku sebanyak 300 sahaja sebulan setelah aku mendiamkan diri, oleh kerana dia mendesak ingin jawapan pada masa itu juga, aku dalam keadaan yang masih belum pasti, terus mengatakan, aku menerima untuk kembali bekerja. hmm.. Ya Allah.. harap keputusan yang hamba ambil adalah betul.. sesungguhnya setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya.. hanya mampu berserah kepadaMu.. biarlah adik-beradik sendiri pun ingin mempergunakan aku, dan memperlekehkan aku, apa pun aku harus bersabar dalam mengharungi liku-liku kehidupan ini.. InsyaAllah semuanya pasti akan baik-baik sahaja.. Amin...



Kemaafan..

Kelmarin, sebelum aku menunaikan solat maghrib, kakakku masuk ke dalam bilikku, sambil menangis teresak-esak, dia meminta maaf atas keterlanjuran kata-katanya tempoh hari terhadap aku, dia mengatakan yang dia tidak sengaja berkata begitu dan dia menyayangi semua adik-adiknya. Aku terpinga-pinga dan tiba-tiba sebak, pada ketika itu juga aku meminta maaf, dan dalam hati, aku juga telah memaafkan kakakku kerana menyakiti dan menyinggung perasaanku. Apa pun, air di cincang tidak akan putus, seburuk mana pun dia tetap kakak aku.. Aku hanya mampu berdoa agar semua adik beradikku, termasuk aku, diberikan hidayah oleh Allah agar menjadi dan berubah kepada seorang yang lebih baik lagi dan memperbaiki segala kekurangan.. Membina sebuah keluarga yang lebih harmoni dan bahagia.. Amin.


Adie Kun @ Raja Bulan

Monday, July 27, 2009

Mampukah Aku Terus Bertahan?


Malam tadi berlaku krisis di antara aku dan kakakku.. hmm.. Tercetus pergaduhan besar, aku bagaikan dirasuk, seperti bukan diri aku, aku mengamuk bagaikan orang gila menjawap segala cemuhan dan cacian kakakku dalam keadaan yang tidak terkawal, tapi aku bersyukur kerana masih mampu menahan kemarahan sehingga seluruh badan aku menggigil dan aku menjerit sekuat hati untuk melepaskan tekanan dan menahan kemarahan. Menjerit bagaikan di serang histeria.. Suasana amat tegang.. Dua orang kakakku yang lain berusaha meleraikan pergaduhan.. sehinggakan salah seorang kakakku terkena serpihan kaca pinggan berisi lauk yg dilemparkan oleh kakak aku yang mencetuskan kemarahan aku. Kalau tidak aku tidak tahu apa yang bakal terjadi jika aku tidak dapat menahan nafsu amarah yang membuak-buak, mungkin berlaku pembunuhan pada malam itu.. hmm...Aku menangis sehingga bengkak mataku selepas pergaduhan itu.. Aku sedih yang teramat sangat, di sebabkan hal yang remeh temeh aku di hina dan di caci dengan pelbagai cacian yang aku tak dapat terima.. Aku mayat hidup? tidak pernah membantu keluarga? Terlalu berkira dengan adik beradik? Patut berambus dari rumah? Menyusahkan? Rupanya selama ini aku lansung tidak dihargai.. oleh adik beradik aku sendiri, dia seolah-olah membutakan mata terhadap segala apa yang aku pernah dan telah aku lakukan demi keluarga.. Aku tahu selama ini aku seumpama kambing hitam dalam keluarga.. tetapi aku amat terkilan apabila di tuduh tidak pernah melakukan apa-apa untuk keluarga dan terlalu berkira-kira. Ya Allah... satu demi satu. dugaan yang Kau berikan kepada hamba.. Hamba tidak tahu, mampukah hamba terus bertahan.. Berikanlah hamba kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini.. Ya Allah.. Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.. Amin..


Adie Kun @ Raja Bulan


Saturday, July 25, 2009

KRISIS DAN KEHILANGAN..


Kehidupan aku sering diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, ianya membuatkan aku terfikir bahawa kehidupan ini sesuatu yang sangat sukar untuk dijelaskan, dan ditafsirkan, apatah lagi diramal.. Aku harap aku kuat.. kuat untuk hadapi apa jua yang melanda.. Kini aku dalam keadaan yang tertekan... Dalam minggu ini aku telah kehilangan dua perkara yang amat penting dalam hidup aku... aku kehilangan kerja, dan kehilangan kawan-kawan.



Kehilangan Kerja.

Pada ahad lepas berlaku perbincangan antara aku dan abang aku, mengenai kerja.Berlaku krisis diantara kami selepas perbincangan itu berakhir dan aku berhasrat untuk berhenti kerja atas sebab-sebab tertentu antaranya...

*Abang aku memaksa aku bekerja pada hari sabtu dan ahad dan menyuruh mengambil cuti pada hari jumaat atau hari biasa, dan kalau boleh ingin aku bekerja tanpa cuti. Aku menolak permintaannya kerana sebelum ini memang aku bercuti pada hari sabtu dan ahad, kerana pada hari itu sajalah masanya aku berjumpa dengan kawan-kawan dan melakukan perkara yang lazim dilakukan seorang remaja. Dia tidak puas hati dan asyik bertanyakan apakah perkara yang sangat penting sehingga aku tidak boleh bekerja pada hari sabtu dan ahad, dan dia juga menyindir aku dengan sindiran yang berbaur penghinaan.

*Dia mengatakan yang dia tidak tahu berapa gaji yang dia boleh dan patut berikan kepada aku kerana dia mengatakan, kerja aku merupakan kerja yang senang, walhal sebelum ini aku mendengar, antara adik beradik dia akan memberikan gaji sejumlah RM500 - RM600.. Aku tidak kisah mendapat gaji sebanyak itu kerana memikirkan kerja untuk sementara waktu, sementara belum mendapat pekerjaan yang menjamin tetapi kemudiannya, dia berkata, ingin memberikan aku gajji sebanyak RM200 sahaja sebulan. Memang tidak bertimbang rasa lansung, gaji pekerja asing lebih banyak berbanding aku dan sememangnya tidak berbaloi.

*Dia membuat andaian, bahawa aku tidak mahu bekerja pada sabtu dan ahad kerana sesuatu perkara. seharusnya perkara yang tidak elok. Dia berperasangka buruk terhadap aku kerana aku tidak mahu mengikut permintaannya. Dia juga mengugut aku, untuk menyoal kawan-kawan aku apakah perkara yang terlalu penting buat aku sehingga aku tidak mahu bekerja.

Pada hari isnin dan selasa aku tidak beberapa sihat untuk bekerja dan belum pun sempat aku menyatakan hasrat untuk berhenti kerja, dia telah memberhentikan aku dan menyatakan hasrat untuk mencari orang lain kerana aku tidak datang bekerja pada hari selasa dan tidak memberitahunya terlebih dahulu, walhal kakakku telah memberitahu isterinya. Tidak mengapa, aku ingin melihat, siapakah yang ingin menerima kerja dengan gaji hanya RM 200 sebulan? Semalam pada hari jumaat, kawan-kawan aku mengajak aku keluar, kakakku berkata kepada aku, abang aku berpesan, dia menyuruh orang untuk memerhatikan gerak geri dan hala tuju aku, dan menyuruh aku berhati-hati.. Hati aku merasa begitu tersentak dan terkejut sekali, jahat sangatkah aku? sampai begitu sekali tindakan dia. seolah-olah aku melakukan jenayah dan perlu diperhatikan. hmm.. sungguh menyedihkan..



Kehilangan Kawan.


Berlaku krisis antara aku dengan dua orang kawanku, kawan yang sudah agak lama di kenali dan agak rapat. Kami mempunyai sebuah kumpulan yang digelar 'Team Sailor'. Pada mulanya aku tidak mahu memperbesarkan masalah, dan pada mulanya perselisihan berlaku hanya di antara aku dan seorang sahaja, tetapi salah seorang ahli kumpulan masuk campur dan menyebabkan perkara ini menjadi bertambah rumit, akhirnya berlaku pergaduhan besar diantara kami dan mereka berdua menarik diri dari 'Team Sailor', dan perhubungan kami menjadi amat renggang selepas pergaduhan itu. Kini kami tidak lagi seperti dulu. Memang amat menyedihkan.. Aku sayangkan persahabatan yang terjalin di antara kami, kerana terdapat begitu banyak kenangan-kenangan sepanjang kami bersama dalam satu kumpulan, yakni 'Team Sailor' yang telah tertubuh sudah hampir 3 tahun lamanya, tapi nampaknya, ianya sudah berakhir... adakah ianya boleh dipulihkan? biarlah masa yang menentukan segalanya.. hmm...

Aku kehilangan kerja, kehilangan kawan, selepas ini, kehilangan apa pula? Hmm.. apa pun aku berharap sangat, semuanya akan baik-baik saja buat aku selepas ini.. Apa pun yang berlaku dalam kehidupan aku, aku harap aku mampu terus bertahan dan meneruskan kehidupan ini dengan hati yang tabah dan sabar.. InsyaAllah..

Adie Kun @ Raja Bulan


Friday, July 17, 2009

Tekanan Kerja.


Hari berlalu dengan pantas, kini sudah dua minggu aku bekerja. Aku bekerja di sebelah pagi, dari pukul 7 pagi sehingga 3 petang, tugas aku adalah menjaga dan menyelenggara keadaan kolam dan persekitarannya. Setiap hari aku dikehendaki mencari udang-udang yang mati didalam kolam, jadi setiap hari aku terpaksa masuk ke dalam kolam untuk mencari udang yang mati. Selain itu, membersihkan keadaan persekitaran, menukar mesin blower dan sebagainya. Selepas semua tugas aku selesai, aku hanya duduk dan menjaga kolam dari apa-apa perkara yang tidak diingini.


Apa yang membuatkan aku tidak berapa tahan adalah kerana aku terpaksa masuk ke dalam kolam yang berair sejuk dan bergelumang dengan air udang, hampir satu jam setiap hari, dan menghidu bau busuk dari udang yang mati. Selepas keluar dari kolam aku pasti akan merasa seperti hendak demam, dan kulit aku mengalami gatal-gatal. Selepas semua kerja aku selesai aku terpaksa menunggu di situ seorang diri, mati kutu aku di buatnya kerana di sana tiada alatan elektronik seperti television, radio dan sebagainya, hanya ditemankan lagu-lagu mp3 didalam hp dan juga buku-buku yang aku bawa dari rumah. Kebosanan yang teramat sangat membuatkan aku tidak dapat duduk dengan selesa dan sentiasa ingin melihat waktu.. Selain dari itu, aku juga terpaksa menahan lapar sehingga pukul 3 petang jika aku tidak membawa bekal dari rumah ataupun bekalan sudah habis dimakan... Aku juga terdedah kepada ancaman binatang liar, seperti kera, lotong, biawak dan sebagainya.. pernah segerombolan kera, datang ke kolam mencari makanan didalam tong sampah.. pernah juga beberapa ekor biawak yang besar seperti biawak komodo, cuba mendekati kolam. sungguh mengerikan.. Walaupun kerja aku kedengaran senang dan mudah tetapi sebenarnya ianya meletihkan..

Apa pun, alhamdulillah, setakat ini tiada perkara buruk yang berlaku, dan semuanya berjalan dengan lancar.. Aku berharap, ini merupakan suatu permulaan kepada sesuatu yang lebih baik lagi selepas ini, InsyaAllah.. semoga semuanya akan baik-baik saja bagi aku.. .. Amin..


Adie Kun @ Raja Bulan


Wednesday, July 8, 2009

Akhirnya Aku Bekerja..





Hari ini merupakan hari ke 2 aku bekerja dengan abang aku, dia membuka kolam pancing udang harimau di sekitar kuala selangor lebih kurang 2 bulan lepas, kebetulan pekerjanya telah berhenti baru-baru ini, jadi dia telah menawarkan aku dan abang ku yang belum bekerja untuk bekerja dengannya sementara kami belum mempunyai pekerjaan. Pada asalnya aku berat hati untuk menerimanya kerana beberapa sebab, tetapi disaat akhir aku telah menerima pelawaannya. Sekurang-kurangnya aku mempunyai pekerjaan, dan duit poket sendiri nanti, sementara menanti peluang pekerjaan yang lain, dan aku ada memohon untuk bekerja dalam sektor kerajaan, lagi pun aku telah lama mengangur.. Kerja disana tidaklah berat, tapi agak membosankan kerana aku berseorangan di situ, dan keadaan amat sunyi, tugas utama aku adalah menjaga kolam dari jam 7 pagi hingga 3 petang, dan selebihnya menyelenggara keadaan kolam dan udang. Aku berharap sangat semuanya akan baik-baik saja. InsyaAllah.. Amin..


p/s - selama 2 hari aku bekerja, dalam sehari berpuluh ekor udang harimau mati dan masih segar, ada yg bersaiz seperti udang galah, besar-besar.. tapi aku tidak suka makan udang, jadi tidak berapa teruja.. haha.. Kadang abg aku memberikan udang-udang tersebut pada keluarga untuk dimasak.

Adie Kun @ Raja Bulan


Thursday, July 2, 2009

RINDU




Lukisan ini di lukis oleh aku pada febuari tahun lepas, khas buat kawan yang aku sayangi di london... erm.. Sejak kebelakangan ini asyik teringatkan dia, mungkin rindu sebab sudah jarang berhubung, sejak dia melanjutkan pelajaran di london kami hanya berhubung melalui ym. Jadi untuk menghilangkan rindu aku telah meng'edit' gambar ini supaya kelihatan lebih baik dari sebelumnya untuk diberikan kepadanya nanti.. Dia melalui saat yang agak sukar di sana, berada di negara orang, macam-macam perkara boleh terjadi. Harap dia sentiasa baik-baik saja di sana.. Di lindungi oleh Allah selalu.. InsyaAllah.. Amin..


Adie Kun @ Raja Bulan.